Oleh: Noor Eszereen Juferi

Cadangan projek pemusatan ternakan di Bukit Tagar, Selangor baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dengan sebahagian menyokong langkah itu atas faktor keselamatan dan kawalan penyakit serta sebahagian menyuarakan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar dan kualiti hidup penduduk setempat.
Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Anjas Asmara @ Ab Hadi Samsudin berkata konsep pemusatan ternakan bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia, namun sebelum ini ia hanya dilaksanakan secara terhad dalam kalangan pemain industri tertentu dan kurang diberi pendedahan kepada umum.
“Konsep ternakan berpusat ini telah lama diamalkan cuma ia tidak diwar-warkan secara meluas. Isu mula mendapat perhatian apabila model ini dikaitkan dengan penternakan khinzir, lalu mencetuskan pelbagai persepsi dalam masyarakat,” katanya semasa di podcast ‘Berilmu, Berbakti’ di sini.
Menurut beliau, dari sudut teknikal dan pengurusan, ternakan berpusat sebenarnya menawarkan banyak kelebihan, khususnya dari aspek kawalan biosekuriti.
“Apabila ternakan ditempatkan secara berpusat kawalan keluar masuk haiwan, manusia dan logistik dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik. Ini penting untuk mengelakkan penularan penyakit antara ternakan serta risiko jangkitan daripada haiwan kepada manusia,” katanya.
Beliau berkata, terdahulu industri ternakan ayam di negara ini yang pada asalnya dijalankan secara kecil-kecilan dan terbuka.
“Oleh kerana pembangunan pesat di sekeliling ladang akhirnya menjadikan operasi ternakan sebagai punca pencemaran bau, air dan kehadiran lalat, yang menjejaskan kesejahteraan penduduk.
“Dalam konteks ini, pemusatan ternakan di lokasi khusus sebenarnya lebih adil, bukan sahaja kepada masyarakat, tetapi juga kepada pengusaha serta membolehkan operasi dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Alam Sekitar serta pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Tambah beliau, pemusatan ternakan juga memudahkan pihak berkuasa mengawal selia aktiviti ladang secara menyeluruh, termasuk mencegah penyeludupan, pergerakan haiwan tidak terkawal serta pengesanan awal wabak penyakit.
“Kita ambil iktibar tragedi virus Nipah di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan sekitar 20 tahun lalu yang telah meragut nyawa manusia dan pendekatan pencegahan adalah penting berbanding tindakan selepas kejadian berlaku.
“Jika melibatkan keselamatan nyawa manusia semua pihak sepatutnya sepakat. Ternakan berpusat membolehkan pemantauan rapi dan tindakan pantas sekiranya berlaku wabak,” katanya.
Namun beliau mengakui kos pembangunan dan operasi ladang berpusat adalah tinggi, terutamanya bagi penyediaan infrastruktur awam seperti kolam rawatan kumbahan. Beliau mencadangkan perlunya satu mekanisme perkongsian tanggungjawab antara kerajaan dan industri perlu dirangka.
“Jika kos sepenuhnya ditanggung pengusaha, beban itu akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga. Kerajaan boleh membantu melalui insentif seperti potongan cukai atau galakan pelaburan,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan institusi pengajian tinggi seperti UPM dalam menyediakan tenaga mahir kepada industri.
“Graduan UPM telah dilatih sebagai pengurus ladang dan agen pengembangan. Kursus jangka pendek khusus untuk industri juga boleh diperluas bagi memastikan operasi ladang berteknologi tinggi dikendalikan secara profesional dan berintegriti,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), UPM, Profesor Madya Dr. Ferdius @ Ferdaus Mohamat Yusuf, berkata keberkesanan ternakan berpusat amat bergantung kepada tahap integriti, disiplin dan kepakaran pengurusan, khususnya dari sudut alam sekitar.
“Isu utama melibatkan kualiti air, udara dan tanah. sisa yang terhasil bukan sahaja berbentuk cecair seperti air kumbahan dan air kencing tetapi juga sisa pepejal daripada najis, ubat-ubatan dan vaksin,” katanya.
Menurut beliau, secara purata seekor khinzir boleh menghasilkan sehingga 40 liter sisa cecair dan 2.5 kilogram sisa pepejal sehari dan jumlah ini menjadi sangat signifikan apabila dikumpulkan dalam skala besar.
“Jika sistem rawatan gagal, limpahan sisa akan mencemarkan air permukaan dan sungai. Nutrien berlebihan boleh menyebabkan eutrofikasi, pertumbuhan alga berlebihan dan seterusnya mewujudkan ‘death zone’ yang memusnahkan ekosistem akuatik,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian kepada pelepasan gas rumah hijau daripada sektor penternakan, yang menurut data antarabangsa menyumbang sekitar 14 hingga 16 peratus daripada pelepasan global.
“Negara maju seperti Denmark telah membuktikan bahawa impak ini boleh diminimumkan melalui sistem rawatan bersepadu termasuk penangkapan gas metana untuk dijadikan sumber tenaga.
“Gas metana boleh ditukar kepada elektrik, air kumbahan dirawat dan digunakan semula untuk mencuci kandang. Jika dilaksanakan dengan betul, konsep ini boleh mencapai hampir sifar sisa,” katanya.
Selain itu, impak guna tanah turut perlu diberi perhatian, bukan sahaja untuk tapak ladang tetapi juga kawasan penanaman makanan ternakan yang melibatkan penggunaan baja dan racun perosak, yang berpotensi mencemarkan sumber air jika tidak dikawal.
Dr. Ferdius berkata, pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling pada Julai 2024 telah meningkatkan penalti terhadap kesalahan berkaitan sisa industri dan pertanian, meletakkan tekanan besar kepada pemain industri untuk mematuhi peraturan.
“Kita tidak mahu bertindak selepas pencemaran berlaku. Fokus perlu kepada pencegahan, dengan sistem rawatan yang tidak melepaskan efluen dan emisi ke persekitaran,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan ternakan berpusat bergantung kepada pelaburan dalam latihan khusus, penggunaan teknologi moden serta kehadiran pakar di setiap peringkat pengurusan.
“Daripada pengurus besar hingga pekerja lapangan, semua perlu mahir dan berdisiplin. Tanpa integriti manusia yang menguruskan sistem teknologi secanggih mana pun tidak akan mencapai objektifnya,” katanya.






