
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 26 Feb – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) menganjurkan Program “Jangan Skip Sahur” sebagai inisiatif kebajikan bagi menghargai petugas barisan hadapan universiti.
Program ini memberi tumpuan kepada staf yang bertugas mengikut syif, khususnya di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) dan Pusat Polis Bantuan dan Keselamatan Universiti (APSec) UPM dengan penyediaan juadah bersahur secara percuma.
Pendaftar UPM, Muhazam Mansor berkata, inisiatif itu bukan sekadar bantuan makanan, malah bertujuan menggalakkan petugas barisan hadapan merebut keberkatan bersahur walaupun berdepan tuntutan tugas harian.

“Program ini membantu menampung perbelanjaan makanan harian staf sepanjang Ramadan, terutama mereka yang bertugas syif. Pada masa sama, ia menjadi tanda penghargaan universiti terhadap komitmen dan pengorbanan mereka,” katanya ketika sesi pengagihan juadah bersahur di HSAAS, UPM.
Pengarah WAZAN, Haris Dahlan, berkata program yang dilaksanakan setiap kali Ramadan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha mempelbagaikan bentuk agihan zakat staf UPM secara bersasar dan berimpak.
“WAZAN telah diperuntukkan sebanyak RM 22,500.00 bagi menyediakan juadah bersahur kepada petugas HSAAS dan APSec selama tiga hari dengan menggunakan dana zakat,” katanya.
Tambah beliau, prestasi kutipan zakat UPM menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan peningkatan sebanyak 3.13 peratus pada tahun 2025, membolehkan lebih banyak inisiatif kebajikan dilaksanakan untuk warga universiti.

“WAZAN turut menggalakkan warga UPM, alumni serta orang ramai untuk terus menyokong pengukuhan dana zakat universiti bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai penerima pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, program tersebut mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memastikan agihan zakat dilaksanakan secara menyeluruh, berimpak dan menyantuni keperluan kebajikan staf.






