Oleh: Aimi Mohamad Farid
SERDANG, 10 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) baru-baru ini mengagihkan 7,000 pek kurma kepada staf universiti sebagai sebahagian inisiatif menyemarakkan Ramadan serta memperluaskan agihan kebajikan dalam komuniti kampus.
Pengarah WAZAN UPM, Haris Dahlan berkata, program agihan kurma itu turut berperanan sebagai medium untuk memperluaskan bentuk agihan zakat yang lebih bersasar dalam komuniti universiti.
“Program ini bukan sahaja bertujuan memberi manfaat kepada staf UPM, malah menjadi medium untuk memperluaskan bentuk agihan zakat yang lebih bersasar serta meningkatkan keterlihatan peranan WAZAN dalam kalangan warga universiti,” katanya.
Tambah beliau, agihan kurma itu juga diharap dapat menggalakkan budaya memberi makan kepada orang yang berpuasa sebagaimana dianjurkan dalam Islam.
“Agihan kurma ini juga diharap dapat menggalakkan budaya memberi makan kepada orang yang berpuasa sebagaimana dianjurkan dalam Islam, di samping menyemai semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam komuniti kampus,” katanya.
Program tersebut merupakan salah satu inisiatif WAZAN UPM untuk mempelbagaikan bentuk bantuan zakat secara lebih bersasar, di samping menggalakkan amalan berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Selain itu, agihan ini turut disertai dengan majlis simbolik penyerahan pek kurma kepada wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) sebagai tanda pelaksanaan program kepada seluruh warga UPM.
Dalam pada itu, inisiatif ini mencerminkan komitmen WAZAN UPM dalam memperkukuh peranan institusi wakaf, zakat dan infak di universiti selain menyokong usaha menggalakkan amalan kebajikan serta solidariti dalam kalangan warga kampus khususnya sepanjang bulan Ramadan.






