Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 4 Oktober - Bantuan awal pengajian dari Universiti Putra Malaysia telah membantu Sangeeta Chandran, 21, berasal dari Kuala Kangsar, Perak, untuk melanjutkan pengajiannya disini.
Sangeeta menyatakan bahawa masalah kewangan utama yang dihadapinya ialah membayar yuran pengajian.
“Saya hanya mampu membayar separuh daripada jumlah yuran dan selebihnya akan saya bayar menggunakan pinjaman PTPTN.
“Selain itu, saya turut menghadapi kesukaran untuk menampung keperluan asas seperti ubat-ubatan dan peralatan pembelajaran.
“Saya bersyukur kerana terpilih menerima Bantuan Awal Pengajian UPM yang dapat membantu saya dari segi kewangan.
“Bantuan ini sangat membantu saya untuk menampung perbelanjaan harian sepanjang berada di UPM,” ujarnya.
Seterusnya, beliau memilih Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian kerana beliau meminati bidang ini sejak dari sekolah.
“Saya menamatkan pengajian diploma dalam bidang Sains Makanan, dan itulah sebab utama saya memilih kursus Dietetik.
“Sejak zaman persekolahan lagi, saya memang berminat terhadap bidang makanan dan minat itu mendorong saya untuk terus melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan makanan.
“Bagi saya, makanan yang baik mampu menentukan sama ada kehidupan seseorang itu indah atau sebaliknya,” katanya.
Tambah beliau,saya menyambung pengajian saya dalam bidang Dietetik supaya saya dapat memahami dengan lebih mendalam tentang ilmu pemakanan serta membantu orang lain memperbaiki gaya hidup mereka.
Sangeeta mempunyai tiga orang adik-beradik dan kakaknya menanggung semua keperluan kewangan untuk kemasukan di Universiti.
“Perkara paling besar yang dilakukan oleh kakak saya ialah menanggung semua keperluan, termasuk yuran pengajian dan keperluan asas yang digunakan di universiti.
“Dia banyak membantu saya, bukan sahaja dari segi kewangan malah juga menjadi sumber kekuatan dan sokongan mental sepanjang masa,” katanya.