?? | Universiti Putra Malaysia_bet36体育在线

bet36体育在线

图片

Bufet Ramadan bukan sekadar juadah, perlu bijak memilih dan selamat menikmati

Article Summary

Musim Ramadan saban tahun menyaksikan kemeriahan tawaran bufet Ramadan di hotel dan premis makanan, lengkap dengan pelbagai juadah yang menggamit selera. Namun di sebalik keterujaan ini, timbul polemik berulang melibatkan kadar harga yang tinggi, isu pembaziran makanan serta persoalan halal dan keselamatan makanan.

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

Musim Ramadan saban tahun menyaksikan kemeriahan tawaran bufet Ramadan di hotel dan premis makanan, lengkap dengan pelbagai juadah yang menggamit selera. Namun di sebalik keterujaan ini, timbul polemik berulang melibatkan kadar harga yang tinggi, isu pembaziran makanan serta persoalan halal dan keselamatan makanan.

 

Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Taha Mohd Omar berkata, dalam membuat keputusan, pengguna lazimnya menilai kualiti makanan dan harga sebagai faktor utama. Menurut beliau, bufet Ramadan sering dilihat sebagai satu bentuk keraian bermusim dan pengalaman menjamu selera bersama keluarga, bukan amalan harian.

 

“Pengguna membayar bukan sekadar untuk makanan, tetapi juga pengalaman bufet Ramadan. Jika pengusaha meletakkan harga lebih tinggi, ia perlu dilihat dalam konteks kos operasi yang meningkat,” katanya.

 

 

Tambah beliau, persekitaran ekonomi semasa yang dipengaruhi inflasi, ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang, serta kenaikan harga barangan tanpa subsidi termasuk bahan mentah terpilih, telah memberi impak langsung terhadap struktur kos.

 

“Faktor-faktor ini menyumbang kepada peningkatan harga yang terpaksa ditanggung pengguna apabila pengusaha menetapkan caj yang lebih tinggi,” katanya.

 

Dr. Taha turut menegaskan kepentingan perancangan kewangan, khususnya dalam keadaan cabaran kos sara hidup.

 

“Ukur baju di badan sendiri serta bezakan antara keperluan, keinginan dan kemahuan. Bufet Ramadan ialah item yang elastik harga boleh berubah mengikut permintaan dan penawaran,” katanya.

 

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengguna agar tidak terperangkap dengan dorongan visual semata-mata dalam pemilihan kos bufet Ramadan.

 

“Jangan guna mata, guna perut dan kita perlu ingat Ramadan mendidik kesederhanaan. Pembaziran makanan bukan sahaja merugikan malah bercanggah dengan nilai puasa itu sendiri,” katanya.

 

 

Beliau berkata, pengguna masih boleh menikmati bufet Ramadan, namun fokus utama wajar kekal pada niat asal bulan puasa sebagai ibadah dan masa berkualiti bersama keluarga.

 

Sementara itu, Pensyarah, Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), UPM, Dr. Siti Nurhayatikhairatun Mohd Sharif, berkata aspek keselamatan makanan yang perlu diberi perhatian, terutama kerana penyediaan bufet sering dilakukan lebih awal.

 

“Pengawalan suhu makanan amat penting. Makanan tidak boleh dibiarkan pada suhu bilik terlalu lama kerana keadaan ini menyokong pembiakan bakteria,” katanya.

 

Beliau berkata, makanan panas perlu dikekalkan panas dan makanan sejuk perlu disimpan pada suhu sejuk yang sesuai bagi mengurangkan risiko pencemaran.

 

 

“Risiko pencemaran bersilang, termasuk penggunaan peralatan menceduk yang bercampur antara hidangan. Pengusaha perlu cakna terhadap kebersihan makanan dan memastikan makanan yang terdedah dilindungi daripada ‘lawatan’ haiwan atau serangga,” katanya.

 

Dalam konteks halal, Dr. Siti Nurhayatikhairatun menegaskan pengguna agar menyemak status sijil halal premis sebelum membuat pilihan.

 

“Pengusaha yang memiliki sijil halal wajib mematuhi undang-undang dan piawaian sedia ada. Jika tiada sijil halal pengguna perlu membuat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

 

Beliau turut mencadangkan pendekatan proaktif bagi menangani pembaziran makanan, termasuk langkah pengusaha mengenakan caj terhadap makanan yang tidak dihabiskan.

 

“Kolaborasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama NGO atau institusi seperti masjid boleh dipertingkatkan bagi menyalurkan lebihan makanan yang masih elok kepada golongan memerlukan,” katanya.

 

 

Dr. Siti Nurhayatikhairatun turut berpandangan, pengguna yang mahu ke bufet Ramadan boleh melakukan perancangan awal seperti memanfaatkan tawaran ‘early bird’ yang mampu membantu mendapatkan harga lebih berpatutan, di samping mengekalkan disiplin pemakanan.

 

“Ramadan bukan sekadar tentang makanan, tetapi latihan rohani dan jasmani. Kesederhanaan dalam berbelanja dan mengelak pembaziran adalah intipati yang wajar diutamakan,” katanya.

WZCcGAz~