Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 16 Mac - Sambutan pelbagai perayaan di Malaysia bukan sekadar tradisi budaya dan keagamaan, malah menjadi wahana penting dalam memperkukuh perpaduan nasional serta membina kefahaman antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Dalam konteks Malaysia sebagai negara majmuk yang dihuni lebih 34 juta penduduk merangkumi lebih 100 subetnik, kepelbagaian perayaan yang diraikan saban tahun dilihat sebagai kekuatan unik negara dalam membentuk kestabilan sosial, keharmonian dan kemakmuran bersama.
Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Sarjit Singh Darshan Singh, berkata perayaan dalam masyarakat pelbagai etnik berfungsi sebagai medium yang membina ikatan sosial serta menyuburkan nilai toleransi dan penerimaan.
“Dalam konteks sosiologi, perayaan yang wujud dalam masyarakat kita yang pelbagai ini sebenarnya mengukuhkan kehidupan bersama. Ia membina satu ikatan sosial berasaskan toleransi dan penerimaan antara satu sama lain.
“Malaysia mempunyai lebih 100 subetnik dan pelbagai perayaan yang bersifat keagamaan serta kebudayaan. Kepelbagaian ini bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan yang menyatupadukan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, keunikan Malaysia turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa yang sering ingin mengetahui bagaimana negara ini berjaya mengurus kepelbagaian etnik, agama dan budaya dalam suasana aman.
“Ramai dari luar negara datang ke Malaysia dan turut serta dalam sambutan perayaan di sini. Mereka bertanya bagaimana kita mengurus kepelbagaian ini. Jawapannya ialah kerana masyarakat kita telah lama membina kesefahaman sosial, selain diperkukuh melalui dasar perpaduan negara,” katanya.
Prof. Dr. Sarjit Singh berkata, hubungan sosial dalam masyarakat perlu diperkasa bukan sahaja dalam kelompok etnik yang sama, tetapi juga merentasi etnik agar keharmonian terus terpelihara.
“Kita ada hubungan intraetnik dan interetnik. Sebagai ahli sosiologi, kita mahu kedua-duanya berkembang dengan baik dan perayaan di negara ini menjadi ruang penting untuk memperkukuh hubungan tersebut,” katanya.
Mengulas cabaran masa depan, Prof. Dr. Sarjit berkata naratif Bangsa Malaysia perlu terus diangkat selaras dengan aspirasi membentuk masyarakat progresif seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Apabila kita bercakap tentang masyarakat progresif, kita perlu kembali kepada naratif Bangsa Malaysia. Perayaan-perayaan etnik yang kita raikan ini sebenarnya menyatupadukan kita dan membina ikatan sosial yang penting untuk hidup bersama.
“Prinsip Rukun Negara juga jelas menjadi asas dalam membentuk kehidupan bersama dan kemakmuran bersama. Sebab itu, kepentingan perayaan perlu difahami dalam makna yang lebih besar terhadap pembinaan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa budaya rumah terbuka yang diamalkan rakyat negara ini mencerminkan keterbukaan masyarakat untuk menerima orang lain, walaupun kadangkala wujud segelintir pihak yang cuba mempersoalkan amalan tersebut.
“Untuk menjadi masyarakat yang progresif, kita perlu terus meraikan kepelbagaian. Dalam dasar perpaduan, temanya jelas iaitu perpaduan dalam kepelbagaian. Itulah kekuatan sebenar negara kita,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Dr. Goh Yong Meng, berkata keunikan perayaan di Malaysia terserlah apabila sesuatu perayaan tidak hanya diraikan oleh etnik tertentu, sebaliknya turut diterima dan disambut bersama oleh masyarakat pelbagai kaum.
“Yang istimewa di Malaysia ialah kita bukan sahaja mempunyai masyarakat majmuk, tetapi juga amalan dan perayaan yang bersifat majmuk. Sesuatu perayaan itu bukan hanya milik satu etnik, tetapi diterima oleh seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dominan atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, penerimaan bersama itu menjadi titik tolak penting dalam membina masyarakat Malaysia yang lebih dinamik dan saling memahami.
“Contohnya, bagi Tahun Baharu Cina, di negara lain orang hanya menyebut sambutan itu secara umum. Tetapi di Malaysia, masyarakat turut bertanya tahun ini tahun apa dalam kalendar zodiak Cina. Nampak kecil, tetapi sebenarnya signifikan kerana ia menunjukkan keinginan masyarakat untuk memahami budaya antara satu sama lain,” katanya.
Menurut beliau, semangat toleransi dan penerimaan yang dipupuk sejak era kemerdekaan serta diperkuat melalui penghayatan Rukun Negara wajar terus dipertahankan.
“Itulah nilai yang perlu kita dokong sampai bila-bila kerana ia menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang majmuk dan dinamik,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Dr. Sharil Nizam Sha’ri, berkata bahasa kebangsaan memainkan peranan amat penting sebagai tunjang perpaduan, khususnya ketika masyarakat saling berinteraksi sempena musim perayaan.
“Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara ini dan akar bahasa turut mengukuhkan masyarakat. Bahasa kebangsaan ialah tunjang perpaduan negara. Sesungguhnya, bahasa kebangsaan bumi berdaulat, pelihara dan pulihara,” katanya.
Beliau berkata, budaya bermaaf-maafan yang sinonim dengan pelbagai perayaan di negara ini turut memperlihatkan keindahan bahasa dan budi dalam membina hubungan sesama insan.
“Seperti pantun Melayu yang kurik itu kundi, yang merah itu saga yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Tidak kira sambutan apa sekali pun masyarakat kita akan dengan hati ikhlas memohon maaf dan mengeratkan silaturahim. Di situlah bahasa dan nilai budaya bertemu untuk mengukuhkan perpaduan,” katanya.
Tambah beliau, komunikasi yang jelas dan berkesan juga penting supaya mesej mengenai makna sesuatu perayaan dapat difahami dengan tepat oleh masyarakat, lebih-lebih lagi dalam era teknologi komunikasi masa kini.
“Asas komunikasi bermula daripada sumber, saluran dan mesej. Apabila maklumat mengenai sesuatu perayaan dapat disampaikan dengan jelas, masyarakat akan lebih memahami dan menghargai makna perayaan tersebut. Teknologi komunikasi hari ini juga tidak dapat dipisahkan daripada usaha memperkukuh perpaduan,” katanya.






