
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang mula dilaksanakan sejak 2024 sering dilihat sebagai bantuan tunai sekali beri bagi meringankan beban kewangan ibu bapa pada awal sesi persekolahan.
Namun, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat sama ada bantuan berjumlah RM150 itu sekadar perbelanjaan kerajaan atau sebenarnya satu pelaburan jangka panjang untuk negara.
Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, berkata BAP perlu dilihat daripada perspektif pulangan jangka panjang.
“Bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kewangan ibu bapa, sekali gus menjamin kesejahteraan keluarga terutama selepas tempoh cuti persekolahan yang lazimnya melibatkan perbelanjaan tinggi.
“Dalam jangka panjang bantuan ini menyumbang kepada penjanaan ekonomi setempat dan memberi kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dari sudut politik pula,ia mencerminkan inisiatif prihatin kerajaan dan memberi nilai tambah kepada tadbir urus negara,” katanya ketika di podcast ‘Berilmu Berbakti’ UPM, di sini.
Tambah beliau, dari aspek pembangunan modal insan, bantuan seperti ini membantu memastikan murid tidak tercicir daripada sistem pendidikan hanya kerana kekangan kewangan keluarga.
“Fleksibiliti pemberian wang tunai juga membolehkan ibu bapa menyesuaikan perbelanjaan mengikut keperluan sebenar anak termasuk pembelian keperluan persekolahan lain yang tidak diliputi bantuan barangan khusus,” katanya di podcast ‘Berilmu Berbakti’ UPM, di sini.
Dr. Mohd Mursyid berkata, bantuan ini membawa kesan psikologi positif kepada pelajar.
“Apabila keperluan asas persekolahan dapat dipenuhi, pelajar tidak berasa terpinggir kerana ketidakmampuan ibu bapa. Ini secara tidak langsung membina motivasi dan semangat untuk hadir ke sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan ibu bapa agar tidak menganggap BAP sebagai bantuan tetap setiap tahun.
“Ibu bapa perlu sentiasa bersiap siaga dengan perancangan kewangan lain. Bantuan ini adalah amanah dan ehsan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya demi pendidikan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM, Dr. Mohd Amim Othman, berkata berkata pendidikan merupakan asas memanusiakan manusia dan teras utama pembangunan negara yang berasaskan modal insan serta teknologi.
“Walaupun RM150 mungkin kelihatan kecil bagi golongan berpendapatan tinggi, jumlah itu amat signifikan kepada keluarga B40. Kekangan kewangan, boleh menjadi faktor keciciran pelajar jika tidak ditangani dengan sokongan sewajarnya.
“Cukup atau tidak bantuan RM150 bergantung kepada tahap literasi kewangan ibu bapa. Namun, kerajaan juga boleh mempertimbangkan mekanisme khusus pembelian barangan sekolah bagi memastikan bantuan digunakan untuk tujuan pendidikan,” katanya
Tambah beliau, salah guna bantuan sering berpunca daripada pengurusan kewangan yang lemah dan keperluan meningkatkan pendapatan keluarga.
“Kesedaran ibu bapa terhadap pengurusan kewangan bagi keperluan persekolahan anak- anak amat penting bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara berhemah,” katanya.
Dr. Mohd Amim berkata, Malaysia antara negara yang proaktif dalam menyediakan bantuan persekolahan berbanding banyak negara lain serta menyeru kepada ibu bapa agar menunaikan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak dengan sebaiknya.
“Anak adalah amanah. Anak yang berilmu bukan sahaja akan menghormati ibu bapa malah memberi manfaat kepada masyarakat dan akhirnya kembali menyumbang kepada keluarga serta negara,” katanya.






