
SERDANG, 25 Feb – Keprihatinan terhadap kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 50 pelajar asnaf dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid UPM, hari ini.
Majlis ini bukan sekadar acara tahunan di bulan Ramadan, sebaliknya menjadi manifestasi komitmen institusi dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi agenda utama universiti. Penerima terdiri daripada pelajar asnaf, anak yatim, mualaf serta Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus mencerminkan pendekatan inklusif dan berterusan UPM dalam menyantuni komuniti kampus.
Majlis berkenaan turut menonjolkan peranan strategik Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), UPM sebagai tunjang utama pengurusan dana kebajikan universiti. Dalam majlis sama, Tuanku Canselor berkenan menerima Dana Zakat UPM berjumlah RM10,290,426.32 yang diuruskan oleh WAZAN UPM serta pelbagai sumbangan zakat dan wakaf daripada entiti korporat, agensi dan individu.
Antara sumbangan signifikan yang diterima termasuk RM450,000 daripada Lembaga Tabung Haji serta RM200,000 daripada Etiqa General Takaful Berhad, di samping zakat perniagaan dan zakat pendapatan daripada syarikat berkaitan universiti termasuk Putra Business School.

Turut diterima ialah sumbangan Wakaf Ilmu UPM berjumlah RM1,216,965.57 yang akan menyokong inisiatif akademik, bantuan kewangan pelajar, penyelidikan dan pembangunan fasiliti universiti. Dalam usaha memperluas manfaat wakaf kesihatan, UPM Holdings Sdn. Bhd. turut menyumbangkan Wakaf Mesin Hemodialisis bernilai RM120,000 untuk kegunaan pesakit di Putra Renal Intervention & Dialysis Centre (PRINCE) UPM.
Sepanjang tahun 2025, WAZAN UPM telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM4.9 juta, memberi manfaat kepada pelajar dan staf universiti, sekali gus memperkukuh peranan sosial UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang menitikberatkan kesejahteraan komuniti.
Pengarah WAZAN UPM, Haris Dahlan berkata, dana yang diamanahkan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam membantu pelajar yang memerlukan, malah menyokong keseluruhan ekosistem pembangunan ilmu dan kesejahteraan warga universiti.
“WAZAN berfungsi sebagai neraca yang menyeimbangkan keperluan kebajikan, pendidikan dan pembangunan universiti. Dana yang disalurkan dirancang secara strategik bagi memastikan impaknya menyeluruh, mampan dan berterusan,” katanya.

Beliau menambah, WAZAN yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2016 terus diperkasa berteraskan lima prinsip utama iaitu Ihsan, Hikmah, Adil, Keseimbangan dan kecemerlangan (Al-Falah), selari dengan aspirasi universiti dalam membina kampus berdaya tahan dan berempati.
Dalam majlis tersebut, Tuanku Canselor turut berkenan berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama kira-kira 1,000 warga UPM dan komuniti sekitar, menzahirkan keprihatinan Baginda terhadap aspek kerohanian dan kebajikan masyarakat kampus.






.jpg)