Oleh: Noor Eszereen juferi
Foto Oleh: Muhammad Syuqqree Mohd Dain
SERDANG, 12 Feb - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Asasi Sains UPM (ASPutra) memperluas jaringan akademik antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Siksha ‘O’ Anusandhan (SOA), India bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan farmaseutikal dan penyembuhan luka.
SOA yang diiktiraf sebagai antara institusi pendidikan tinggi terkemuka di India mempunyai kekuatan dalam bidang sains farmaseutikal, bioteknologi dan penyelidikan klinikal. School of Pharmaceutical Sciences (SPS) universiti itu dikenali atas kecemerlangan dalam teknologi farmaseutikal, nanoperubatan dan sistem penghantaran ubat termaju.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Profesor Dr. Zamberi Sekawi, berkata kolaborasi antarabangsa merupakan pemacu utama kepada penghasilan penyelidikan berimpak tinggi, pemindahan ilmu serta pembangunan teknologi kesihatan baharu.
“MoU ini mencerminkan komitmen bersama untuk mempergiat penyelidikan rentas disiplin, merangkumi projek bersama, penerbitan ilmiah, mobiliti pelajar dan penyelidik, serta perkongsian kepakaran dan kemudahan makmal,” katanya.
Pengarah ASPutra, Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah, berkata kerjasama ini menandakan langkah strategik UPM dalam memperkukuh ekosistem inovasi global sejajar aspirasi universiti untuk memacu kecemerlangan penyelidikan, memperluas kolaborasi saintifik dan menyumbang kepada kemajuan sektor kesihatan.
“Kerangka kerjasama ini bukan sahaja memperkasa keupayaan penyelidikan, malah membuka ruang kepada pembangunan teknologi dan produk inovatif yang berpotensi memberi manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, kerjasama tersebut diperkasakan melalui Pelan Tindakan Bersama 2026 hingga 2031, yang memberi penekanan kepada pelaksanaan program secara tersusun, mampan dan berorientasikan hasil, memastikan manfaat kerjasama diterjemahkan kepada output penyelidikan, inovasi serta potensi pengkomersialan.
Sinergi penyelidikan serantau turut diperkukuh melalui pemeteraian MoU melibatkan UPM, SOA dan Mae Fah Luang University, Thailand. Kerjasama tiga hala ini berakar daripada kejayaan memperoleh ASEAN–India Collaborative R&D Grant 2025, dengan projek berkenaan tersenarai antara hanya 20 yang diluluskan daripada hampir 1,000 cadangan di peringkat antarabangsa.
Ketua pasukan Malaysia, Dr. Siti Efliza Ashari, berkata kejayaan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan penyelidik tempatan serta kekuatan kerjasama saintifik rentas negara.
“Kerangka kerjasama ini membuka ruang kepada pembangunan teknologi dan produk inovatif, penjanaan harta intelek serta penghasilan penyelesaian kesihatan yang berpotensi memberi impak langsung kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, MoU tersebut dimeterai bersempena 1st International Closed Meeting on Wound Healing Project 2026 (iCMWP 2026) yang menjadi platform penting menghimpunkan pakar dan penyelidik bagi mempercepat inovasi dalam bidang penyembuhan luka, satu domain kritikal dalam perubatan moden dan penjagaan kesihatan.






.jpg)