?? | Universiti Putra Malaysia_bet36体育在线

bet36体育在线

图片

UPM, AmBank Islamic perkasa komuniti Paya Rambutan jana pendapatan melalui fertigasi

Oleh: Mahani Amat @ Halimi

 

ULU LEPAR, 14 April – Inisiatif kerjasama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan AmBank Islamic menerusi Program Agropreneur iTEKAD AmBank Islamic X SBE UPM berjaya memperkasa komuniti B40 di Kampung Paya Rambutan dengan meningkatkan pendapatan melalui projek pertanian moden berasaskan fertigasi.

 

Program yang dilaksanakan selama setahun bermula pertengahan tahun 2025 itu memberi tumpuan kepada pemindahan ilmu pertanian dan keusahawanan secara menyeluruh, membolehkan peserta mengurus projek secara mampan dan berdikari.

 

Pelaksanaan program diketuai oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM dengan kerjasama Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), UPM, selain sokongan kepakaran daripada Pusat Pertanian Putra (PPP), Fakulti Pertanian (FP) dan Fakulti Ekologi Manusia (FEM).

 

Timbalan Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Bahagian Pengembangan Pertanian, UCTC UPM, Prof. Dr Norsida Man, berkata seramai 10 peserta daripada komuniti B40 mengikuti lapan modul latihan merangkumi asas fertigasi, pengurusan tanaman, pembajaan, kawalan perosak, penggunaan input organik, motivasi, strategi pemasaran serta pengurusan kewangan.

 

“Melalui projek tersebut, peserta mengusahakan tanaman bernilai tinggi seperti cili padi, lada, terung, serai, peria, petola, kacang panjang dan timun menggunakan kira-kira 5,000 polibeg,” katanya.

 

Tambah beliau, sehingga April tahun ini, projek berkenaan merekodkan hasil tuaian sebanyak 5.6 tan dengan anggaran pendapatan kasar terkumpul mencecah RM33,000.

 

“Pencapaian itu membuktikan bahawa pertanian moden berskala kecil mampu menjana pulangan signifikan sekiranya diurus secara sistematik dan berasaskan ilmu,” katanya.

 

Penghulu Mukim Ulu Lepar, Noor Jamaan Abd Rahman, berkata projek tersebut sebagai contoh model pembangunan komuniti luar bandar yang berjaya.

 

“Usaha ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu, malah mengukuhkan kerjasama strategik antara institusi kewangan, universiti dan masyarakat,” katanya.

 

Beliau berharap inisiatif itu dapat diperluaskan bagi membantu lebih ramai komuniti keluar daripada kemiskinan serta menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

 

“Program ini secara langsung meningkatkan pendapatan komuniti B40, mengurangkan kebergantungan kepada sumber tunggal serta membina keupayaan keusahawanan berasaskan teknologi,” katanya.

 

Sementara itu, peserta projek, Hamizan Jamaludin, 37, berkata penyertaan dalam program tersebut mengubah pendekatan komuniti terhadap pertanian selepas percubaan awal mereka sebelum ini gagal akibat kekurangan ilmu dan masalah teknikal.

 

“UPM bukan sahaja memberi latihan, malah melakukan pemantauan berkala dan menaik taraf sistem kepada teknologi lebih moden seperti penggunaan penitis PCJ bagi memastikan pengagihan air yang sekata,” katanya.

 

Tambah beliau, penggunaan teknologi seperti perangkap serangga berasaskan solar, CCTV serta sistem pembajaan automatik berasaskan Internet of Things (IoT) turut membantu meningkatkan kecekapan pengurusan kebun.

 

“Pengurusan air dan nutrien kini boleh dikawal melalui telefon pintar tanpa perlu berada di kebun, sekali gus menjimatkan masa dan tenaga,” katanya.

 

Seorang lagi peserta, Nurul Hidayah Abu Bakar, 33, berkata projek itu memberi impak langsung kepada kehidupan keluarganya.

 

“Hasil tanaman membantu saya menambah baik rumah dan meningkatkan taraf hidup. Saya juga kini berhasrat mengembangkan tanaman cili secara lebih serius,” katanya.

 

Rakannya, Amirul Adam Ab Talib, 35, pula berkata projek itu menjadi sumber pendapatan tambahan yang stabil di samping kerjaya sedia ada.

 

“Projek ini membuktikan bahawa pendekatan bersepadu melibatkan ilmu, teknologi dan pemantauan berterusan mampu memperkasa komuniti secara mampan serta menjadi model pembangunan yang wajar diperluaskan di seluruh negara,” katanya.

WZERSAt~