Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 13 April – Peranan wanita dalam industri perladangan kelapa sawit kini semakin diiktiraf sebagai antara pemangkin utama kepada kemampanan sektor tersebut, sekali gus mencerminkan perubahan landskap tenaga kerja dalam industri yang sebelum ini didominasi oleh lelaki.
Sumbangan wanita dilihat bukan sahaja setara dengan lelaki, malah menjadi elemen penting dalam memastikan pengurusan ladang yang lebih cekap, inovatif dan lestari. Perkembangan ini hadir ketika industri kelapa sawit terus memainkan peranan signifikan sebagai nadi ekonomi negara menyumbang kepada pendapatan eksport, peluang pekerjaan serta pembangunan luar bandar.
Malaysia sebagai antara pengeluar utama minyak sawit dunia masih bergantung kepada sektor ini untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang stabil, di samping menyokong rantaian industri hiliran termasuk pemprosesan makanan, oleokimia dan bioenergi.
Namun, industri berkenaan terus berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja khususnya dalam operasi ladang. Kebergantungan kepada buruh asing serta minat yang masih rendah dalam kalangan tenaga kerja tempatan menjadikan isu ini semakin mendesak dan memerlukan penyelesaian strategik.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Daljit Singh A/L Karam Singh, berkata pendekatan lebih inovatif kini diberi penekanan dengan memanfaatkan teknologi seperti mekanisasi, digitalisasi serta amalan pertanian pintar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh intensif.
“Peranan graduan amat penting sebagai pemangkin perubahan dalam meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti ladang serta membantu memperkenalkan kaedah pengurusan yang lebih mampan dalam memastikan produktiviti kelapa sawit terus meningkat tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Berkongsi pengalaman di lapangan, pelajar tahun akhir Bacelor Sains Pengurusan Perladangan, Fakulti Pertanian, UPM, Nurul Nuha Nordin, berkata antara cabaran utama yang dihadapi ialah aspek komunikasi dengan pekerja asing.
“Sebagai penyelia pelatih, saya perlu memberi arahan dengan jelas kepada pekerja yang kebanyakannya lelaki serta datang daripada latar belakang bahasa berbeza. Ini memerlukan pendekatan komunikasi yang berkesan,” katanya yang menjalani latihan industri di Estet Leepang A, IOI di Muadzam Shah, Pahang.
Rakannya, Nurfarisya Aqilah Amil yang menjalani latihan industri di Estet Laukin A, IOI, berkata, tempoh latihan selama 40 minggu memberi pendedahan menyeluruh kepada aspek pengurusan dan operasi ladang.
“Pengalaman ini menjadikan kami lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan sebaik tamat pengajian,” katanya.
Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perladangan, Fakulti Pertanian, UPM, Mirhafizah Mirzaman yang menjalani latihan di Estet Laukin, Beluran, Sabah, berkata cabaran berdepan keadaan fizikal ladang yang mencabar serta lokasi yang sukar diakses.
“Walaupun berdepan cabaran logistik dan fizikal dengan latihan yang mencukupi, kami yakin mampu menjadi pengurus ladang setanding lelaki,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh tenaga kerja mahir, UPM menawarkan program Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian berkonsepkan 3u1i, iaitu tiga tahun pembelajaran di universiti dan satu tahun latihan industri. Pendekatan ini memberi pendedahan praktikal yang komprehensif kepada pelajar.
Menariknya, program tersebut turut menyaksikan peningkatan penyertaan pelajar wanita mencerminkan perubahan persepsi masyarakat terhadap peranan wanita dalam sektor perladangan.
Dengan sokongan dasar yang berterusan, peningkatan penyertaan wanita serta kehadiran graduan berkemahiran tinggi, industri kelapa sawit negara diyakini mampu terus berkembang secara mampan, berdaya saing dan kekal sebagai antara tunjang utama ekonomi Malaysia.






