Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
HULU LANGAT, 11 Januari– Seramai 70 orang pelajar Tahun Pertama, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) menerusi inisiatif SULAM-JSKPCARE@Community telah berjaya dilaksanakan di Kampung Batu 14, Hulu Langat.
Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Rosnon berkata, pelaksanaan program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori pembangunan komuniti yang dipelajari di dalam kuliah ke dalam situasi sebenar di lapangan.
“Melalui pendekatan SULAM, pelajar bukan sahaja memahami konsep pembangunan komuniti secara teori, malah dapat mengaplikasi realiti sosial, budaya dan ekonomi masyarakat setempat dan membentuk pemahaman yang lebih holistik serta meningkatkan kepekaan sosial mereka sebagai bakal graduan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara UPM dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Batu 14, bersama sokongan pertubuhan komuniti, agensi berkaitan dan rakan strategik termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa komuniti melalui pendekatan yang inklusif dan berteraskan keperluan setempat.
“Kerjasama rentas sektor ini amat penting bagi memastikan setiap intervensi yang dijalankan benar- benar memberi manfaat kepada komuniti serta selari dengan keperluan sebenar penduduk,” katanya.

Menurutnya, sepanjang program berlangsung, para pelajar terlibat secara langsung dalam aktiviti gotong-royong dan rewang bersama penduduk kampung yang memberi pendedahan tentang nilai kebersamaan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
“Penglibatan ini turut membantu pelajar memahami peranan kepimpinan tempatan dalam menyelaras penglibatan komuniti serta merancang dan melaksanakan aktiviti pembangunan di peringkat akar umbi,” katanya.
Tambahnya, pendedahan kepada inisiatif ekopelancongan yang diusahakan oleh komuniti Kampung Batu 14 memberi gambaran jelas tentang bagaimana sumber tempatan boleh dimanfaatkan secara lestari dan dijadikan peluang penjanaan pendapatan.
“Ini juga mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap konsep pembangunan berteraskan komuniti yang menekankan pemerkasaan, kekuatan dalaman serta kelestarian jangka panjang,” katanya.






