Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Saleha Haron
SERDANG, 11 Februari – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh agromakanan negara menerusi pelaksanaan program USAHAWANTANI PUTRA-PERHEBAT, sebuah inisiatif strategik yang memfokuskan pembangunan kerjaya kedua bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pengarah Pusat Pertanian Putra UPM, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin berkata, Program hasil kerjasama UPm dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) ini menzahirkan komitmen universiti dalam memindahkan kepakaran teknologi dan amalan pertanian moden kepada komuniti veteran, sejajar dengan agenda keterjaminan makanan negara.
“UPM menyediakan ekosistem pembelajaran menyeluruh merangkumi latihan praktikal, bimbingan teknikal, pemindahan teknologi serta pendedahan kepada model perniagaan pertanian.
“Pendekatan ini adalah bagi memastikan peserta bukan sahaja mahir dari sudut pengeluaran, tetapi juga berupaya menjana pendapatan secara mampan,” jelas beliau.
Menurutnya, kepakaran ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi membimbing peserta dalam tiga sektor utama iaitu tanaman, ternakan dan perikanan berskala komersial.
Beliau berkata peserta turut didedahkan kepada penggunaan teknologi pertanian, pengurusan kos, produktiviti ladang dan strategi pemasaran.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memuji peranan proaktif universiti dalam menyokong agenda pembangunan modal insan dan keselamatan makanan negara.
“UPM memainkan peranan penting sebagai hab ilmu dan teknologi pertanian negara.
“Inisiatif seperti ini membuktikan universiti bukan sahaja menyumbang kepada penyelidikan, tetapi turut memberi impak langsung kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat, termasuk veteran ATM,” katanya.
Bagi peserta PERHEBAT, Mohd Affieq Mohd Rashid, 39, pengalaman mengikuti latihan dalam bidang pertanian di UPM memberi nilai tambah yang signifikan terhadap persediaan menghadapi alam persaraan.
“UPM telah membimbing agar beliau mempunyai kemahiran untuk mengusahakan tanaman cendawan hanya di sekitar rumah dengan skala besar.
“Latihan di sini sangat praktikal dan berasaskan situasi sebenar industri. Kami bukan sekadar belajar teknik penanaman atau penternakan, tetapi turut memahami aspek pengurusan dan daya saing pasaran. Ini memberi keyakinan untuk memulakan kerjaya baharu,” ujarnya lagi.






