
Oleh: Husnina Zahra Hadri
SERDANG, 22 April – Program Dogathon 2026 anjuran pelajar tahun tiga Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kebajikan haiwan melalui pendekatan pendidikan, interaksi komuniti dan penglibatan pelajar.
Dekan Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM, Prof. Dr. Goh Yong Meng berkata, penganjuran program ini bukan sahaja memfokuskan kepada kebajikan haiwan semata-mata, tetapi turut menekankan keseimbangan antara manusia, haiwan dan persekitaran.

“Program ini berpaksikan kepada bagaimana kita boleh berinteraksi secara bertanggungjawab dengan haiwan dan persekitaran. Ia bukan sekadar kebajikan haiwan, tetapi melibatkan keseimbangan ekosistem dan tanggungjawab manusia,” katanya.
Tambah beliau, kesedaran terhadap kebajikan haiwan perlu disertai dengan tanggungjawab, termasuk memahami risiko penyakit zoonotik serta pengurusan haiwan terbiar secara berhemah.

“Secara langsung ini memberi manfaat kepada masyarakat serta menjadi platform pembelajaran penting kepada pelajar veterinar khususnya dalam aspek pengurusan program berskala besar dan kemahiran klinikal,” katanya.
Pengarah Program I, Tan Ji Xiu, berkata program ini memberi impak langsung kepada usaha memelihara kebajikan haiwan melalui penglibatan komuniti.
“Melalui program ini kami mengumpulkan pencinta haiwan serta dana pendaftaran peserta akan disalurkan kepada inisiatif ‘tangkap, mandul dan lepas’ bagi mengawal populasi haiwan terbiar di sekitar UPM,” katanya.
Selain itu, penganjuran program ini turut membantu meningkatkan kemahiran profesional dalam kalangan pelajar veterinar.
Pengarah Program II, Goh Hui Yi berkata, program ini bukan sahaja membantu pelajar menguasai kemahiran komunikasi, malah memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak luar.
“Kolaborasi dengan agensi seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Persatuan Menolong Haiwan (SPCA) turut meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengambilan haiwan angkat serta pendaftaran lesen haiwan peliharaan secara bertanggungjawab,” katanya.
Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta, khususnya pencinta haiwan yang melihat program ini sebagai platform penting untuk sosialisasi haiwan peliharaan.

Peserta program, Puvaneswari Jeyapalan berkata, program ini memberi peluang kepada haiwan peliharaan untuk berinteraksi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran serta haiwan lain.
“Program ini amat bagus serta kami boleh berinteraksi dengan ramai orang dan anjing selain berpeluang mendapatkan kenalan baharu melalui aktiviti ini,” katanya.
Sementara itu, pengunjung Dogathon 2026, Nurul Najwa Mohd Amin, berkata program seperti ini wajar diteruskan bagi mewujudkan ruang untuk haiwan peliharaan bersosial.
“Program seperti ini penting kerana tempat untuk anjing berinteraksi masih terhad. Sekurang-kurangnya, mereka mempunyai ruang untuk berjumpa dan bergaul dengan haiwan lain,” katanya.
Dalam pada itu, program yang berlangsung di fakulti tersebut menghimpunkan seramai 800 peserta terdiri daripada warga universiti dan orang awam, dengan pelbagai aktiviti seperti “Dog Race”, konsultasi veterinar, pameran haiwan serta demonstrasi Unit K9.






